Pengurus pasukan skuad B-22 kebangsaan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, untuk merealisasikan sasaran mara ke final sudah pastinya realistik untuk dilakukan.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu para pemain berasa terlalu tertekan, sebaliknya mengambil perlawanan satu demi satu.

“Secara keseluruhannya persiapan berjalan dengan baik, tambahan pula enam pemain yang sebelum ini tidak dapat menyertai pasukan, ada bersama kami. Situasi itu meletakkan jurulatih ada pilihan yang banyak dan saya fikir memang ada harapan, cuma kalau sudah ke final, memang emas jadi sasaran sebab kita main di laman sendiri.

“Saya fikir jika kita mara ke final dan menerima sokongan yang padu, tidak mustahil untuk mendapatkan emas namun itu tidak bermakna perlawanan di pusingan awal kita boleh ambil mudah. Kami akan cuba melepasi setiap peringkat dan hadapi perlawanan satu demi satu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas mengenai kombinasi serta pemilihan pemain, Mohd. Yusoff percaya pengendali Datuk Ong Kim Swee mempunyai pilihan yang lebih banyak dan yakin skuad dapat dibentuk dengan baik.

“Pada Kelayakan Kejohanan Bawah 23 AFC kita hanya melakukan persiapan dalam tempoh yang cukup singkat malah tiada harapan diletakkan namun kejayaan mara ke pusingan akhir itu membuktikan pasukan kita ada pemain yang berkualiti.

“Saya percaya jurulatih dapat membentuk sebuah pasukan dengan himpunan yang berkualiti, biarpun masa yang ada tidak begitu lama,” katanya.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Singapura, Laos dan Brunei manakala Kumpulan B dibarisi Thailand, Vietnam, Indonesia, Kemboja, Timor Leste dan Filipina.