Berdasarkan kedudukan ranking terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Malaysia jatuh empat anak tangga berbanding 170 bulan lalu dan kekalahan 4-1 sebanyak dua kali kepada Korea Utara dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 pada 10 dan 13 November lalu menjadi penyebab kepada ranking Malaysia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menempelak pengkritik bola sepak tempatan yang menjadikan kedudukan ranking tersebut sebagai kayu pengukur terhadap kemampuan skuad Harimau Malaya.

Tunku Ismail berkata beliau yang menduduki kerusi No. 1 FAM itu tidak sampai setahun dan untuk menilai kredibilitinya berdasarkan kedudukan ranking tersebut adalah tidak adil.

“Kalau nak nilai (pencapaian) Harimau Malaya sepatutnya dilakukan pada 10 tahun lalu sebab saya datang ke sini (FAM) untuk memperbaiki FAM. Saya tidak sampai setahun untuk memperbaikinya, saya kena tahu apa masalah yang dihadapi,” katanya.

Filipina menjadi pasukan terbaik dari ASEAN apabila menduduki tangga ke-118 dunia disusuli Vietnam ke-125 manakala Thailand (ke-132), Myanmar (ke-150), Indonesia (ke-154), Singapura (ke-170) dan Kemboja (ke-170).

Tiga pasukan tercorot ASEAN dihuni oleh Laos (ke-184) kemudian Brunei (ke-190) dan Timor Leste (ke-196).

Sementara itu, bagi kedudukan lima terbaik dunia tidak mengalami sebarang perubahan apabila penyandang juara dunia, Jerman kekal berada di tempat pertama diikuti Brazil kemudian Portugal dan Argentina di kedudukan keempat disusuli Belgium. - UTUSAN ONLINE