ONG KIM SWEE
ONG KIM SWEE

Kim Swee berkata, masih terdapat dua perlawanan yang perlu diharungi selepas ini dan peluang untuk layak ke pusingan suku akhir kejohanan masih terbuka dan pada masa sama beliau mengakui kesilapan mudah yang dilakukan pemain telah menyebabkan gawang pasukan dibolosi empat kali.

“Kami kalah kepada pasukan yang lebih bagus dan Iraq seimbang di semua bahagian. Kami cuba memberi saingan namun kami bolos dua gol mudah.

“Sudah tentu saya sedih melihat keputusan tewas 1-4 dengan dua gol dilepaskan disebabkan kesilapan mudah pemain saya sendiri dan perkara ini berlaku apabila pemain lambat mendapat keyakinan dan selepas mereka percaya kepada diri sendiri pemain mula memberi saingan. Kami masih boleh bersaing cuma perlu lebih berdisiplin.

“Ini baru satu perlawanan dan saya tidak akan mengaku kalah. Saya perlu mengambil perkara positif daripada permainan dan saya perlu menganalisis semula permainan kami untuk menghadapi lawan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Changshu hari ini.

Dalam perlawanan tersebut, gol Malaysia dibolosi seawal minit keenam menerusi tandukan Mohammed Khalid Jaffal Al-Jumaili sebelum Amjed Attwan Kadhim meledak gol kedua pada minit ke-28 selepas Syazwan Andik Mohd. Ishak gagal mengeluarkan bola dengan sempurna daripada kawasan kotak penalti.

Kealpaan benteng pertahanan Malaysia terus dihukum oleh anak-anak buah Abdul Ghani Shahad apabila Alaa Ali Mhawi menjaringkan gol ketiga pada minit ke-57 sebelum Hussein Al-Saedi meledak gol keempat pada minit ke-81 apabila bijak memanfaat kesilapan dilakukan oleh pemain tengah negara, Nor Azam Abdul Azih. Gol saguhati Malaysia diperoleh menerusi jaringan Safawi Rasid pada minit ke-79.

Begitupun, Malaysia berpeluang menambah gol kedua menerusi rembatan Akhyar Abdul Rasid pada minit ke-87, namun jaringan tersebut tidak dikira walaupun kelihatan seperti melepasi garisan gol. Bagaimanapun, Kim Swee berkata, beliau akur dengan keputusan pengadil perlawanan.

“Saya perlu melihat semula untuk berlaku adil. Saya tidak pasti jaringan tersebut dikira atau tidak kerana penting untuk kami menilai persembahan pasukan secara keseluruhan bukan hanya daripada jaringan Akhyar sahaja,” katanya.