Walaupun sudah layak atas tiket tuan rumah, namun skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) itu tetap bernafsu besar apabila mendahului permainan 5-0 pada babak pertama.

Selepas turut menang besar 6-1 ke atas Singapura dalam aksi pembukaan, Rabu lalu, skuad bimbingan Lim Teong Kim pasti turun dengan keyakinan tinggi apabila menentang jaguh Asia, Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan J, Ahad ini.

Dalam aksi di Stadium Wibawa Mukti, Bekasi hari ini pesta gol Malaysia dimulakan oleh Ikhwan Hafizo pada minit ke-11, sebelum Aiman Haikhal Azman menyempurnakan penalti tiga minit berselang untuk kedudukan 2-0.

Tiga lagi gol pada separuh masa pertama disempurnakan oleh Aleff Haedi Za Ba Ba (minit ke-23), Faiz Khairi (penalti minit ke-30) serta Alif Abdul Mutalib di hujung babak pertama.

Hari malang Guam berterusan pada babak kedua apabila Harith Naem Jaineh menjaringkan gol keenam Malaysia pada minit ke-47 dan Aiman mencetak gol kedua peribadi dua minit berselang, sebelum gol kelapan disumbangkan Alif pada minit ke-51.

Tidak cukup dengan lapan gol, Danish Ishak menambah derita Guam apabila meledak dua gol pada minit ke-58 dan minit ke-81, disusuli Danial Amali (minit ke-67 dan 77) serta Umar Hakeem Suhar Rezwan di minit ke-72.

Gol saguhati Guam diperoleh pada minit ke-84 menerusi Kyle Ko Halehale sebelum Aiman muncul penjaring terbanyak negara dalam perlawanan itu dengan melengkapkan hatrik pada minit ke-89. - UTUSAN ONLINE