Malaysia kalah 1-4 dalam kedua-dua perlawanan menentang Korea Utara di Stadium I-Mobile, sekali gus meletakkan mereka ke kedudukan tercorot Kumpulan B dengan satu mata daripada lima perlawanan.

Anak-anak buah Vingada masih mempunyai baki satu perlawanan dalam kempen kelayakan menentang Lebanon pada 27 Mac, tahun depan, namun pertemuan tersebut sudah tidak memberi sebarang makna.

“Dua perlawanan menentang Korea Utara memberi banyak pengajaran kepada pasukan. Menentang pasukan yang lebih kuat dengan tempoh persediaan yang singkat memberi kesukaran kepada kami.

“Begitupun, saya percaya semua pengalaman yang dikutip di Buriram akan menjadikan Malaysia lebih kuat pada masa akan datang,” kata jurulatih dari Portugal itu kepada pemberita.

Hatrik Kim Yu Song pada minit ke-15, 20 dan 44, selain jaringan Pak Kwan Ryong pada minit ke-79 memastikan kemenangan Korea Utara, sekali gus menghadiahkan kekalahan keempat buat Malaysia sepanjang kempen kelayakan Piala Asia 2019.

Pasukan negara sebelum ini kalah 1-2 kepada Lebanon, diikuti seri 1-1 serta tumpas 0-2 di tangan Hong Kong.

Vingada pula masih gagal mencatat kemenangan pertama selepas membimbing Harimau Malaya dalam tujuh perlawanan sejak mengambil alih tugas ketua jurulatih pada Mei lalui. - UTUSAN ONLINE