Ia adalah malam yang amat mengecewakan buat penyerang Portugal itu selepas gagal me­nyempurnakan beberapa peluang, dan tuan rumah dihukum dengan kekalahan pertama musim ini menerusi tandukan Antonio Sanabria pada waktu kecederaan.

Juara bertahan itu kini menghuni tangga ketujuh dengan tujuh mata di belakang pendahulu, Barcelona ketika saingan baru lima perlawanan berlangsung.

Gandingan Ronaldo bersama Isco, Toni Kroos dan Gareth Bales gagal menewaskan bekas penjaga gol Real, Antonio Adan yang cemerlang menyelamatkan banyak percubaan lawan.

“Hari ini bola tidak mahu memasuki gawang. Kami ada 26 atau 27 peluang, inilah bola sepak.

“Ia bukan permainan yang bagus buat kami tetapi bukan juga yang terburuk. Jika anda berjaya menjaringkan gol, ceritanya pasti berbeza” kata pengendali Real, Zinedine Zidane.

Ketika ditanya apakah penyokong perlu bimbang ke­rana Real ke­tinggalan tujuh mata di belakang Barcelona yang memenangi semua lima perlawanan, Zidane berkata, mereka tidak perlu menunjukkan reaksi berlebihan.

“Tiada sebab untuk bimbang. Kami bermain baik sebelum ini (menang 3-1 di Real Sociedad). Ia mungkin kurang bagus hari ini tetapi sudah tentu kami juga tidak berhak kalah,” ujarnya. – AGENSI