Penyerang Portugal itu meledak gol tunggal menerusi sepakan bebas pada minit ke-53 untuk memboleh­kan Real muncul pasukan pertama berjaya mempertahankan kejuaraan.

Baru dinobat sebagai pemenang Ballon d’Or buat kali kelima awal bulan ini, aksi cemerlang pemain berusia 32 tahun itu meletakkannya sebagai ‘pemain terbaik dalam sejarah’.

“Angka (jumlah gol) sudah cukup untuk menceritakan situasi sebenar.

“Saya sangat gembira, terus bermotivasi mencari kemenangan secara berpasukan dan individu.

“Saya rasa saya masih kuat serta berada pada tahap terbaik untuk meneruskan kecemerlangan sebagai pemain dan mahu memenangi lebih banyak trofi, itulah yang paling saya sukai,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Kemenangan di Stadium Zayed Sports City membolehkan Real menyamai pencapaian Barcelona merangkul tiga Piala Dunia Kelab selepas menang pada 2014 dan 2016.

Real juga memahat sejarah memenangi lima trofi pada 2017 iaitu Liga Juara-Juara, La Liga, Piala Super UEFA, Piala Super Sepanyol dan Piala Dunia Kelab.

“Kalau boleh, saya mahu (bersara di Mad­rid). Namun, semua itu bukan bergantung kepada saya semata-mata ke­rana saya bukan bos,” kata Ronaldo lagi.

Sementara itu, Zi­nedine Zidane ketika ditanya mengenai masa depan Ro­naldo mengakui, sebolehnya dia mahu melihat kapten Portugal tersebut menamatkan karier di Madrid.

“Real Madrid adalah kelab dan rumah Cristiano. Dia telah melakukan banyak perkara hebat di sini dan harap ia akan te­rus begini sehingga dia bersara,” katanya.

Kemenangan tersebut me­nyuntik semangat Real sebelum menghadapi aksi El Clasico menentang pendahulu La Liga, Barcelona di Santiago Bernabeu, Sabtu depan.

“Ia pertarungan yang bagus dan saya mahu Barcelona menerima penghormatan bertemu kami (selepas bergelar juara dunia). Harap kami dapat kalahkan Barca, jadi perebutan kejuaraan La Liga terus hidup,” kata Ronaldo.

Barcelona kini mendahului La Liga dengan 39 mata, tiga mata mengatasi pasukan tangga kedua, Atletico Madrid. Real di tempat keempat menerusi 31 mata. – AGENSI