Ketika Maghribi menang bergaya 2-0 ke atas Ivory Coast untuk menjuarai Kumpulan C, lain pula yang dilalui Tunisia apabila keputusan seri 0-0 dengan Li­bya sudah cukup untuk mereka mengesahkan tempat selaku juara Kumpulan A.

Kejayaan tersebut membo­leh­kan kedua-dua pasukan itu menyertai Senegal, Mesir dan Nigeria yang sudah pun mara lebih awal dari pusingan kelayakan Zon Afrika.

Maghribi menjaringkan dua gol kemenangan mereka itu hanya dalam tempoh lima minit menerusi Nabil Dirar dan Medhi Benatia untuk layak buat kali pertama ke Piala Dunia sejak 1998. Mereka mengumpul 12 mata tanpa dibolosi daripada enam perlawanan kelayakan peringkat kumpulan.

“Ini merupakan kali kelima kami layak ke Piala Dunia dan ini membuktikan Maghribi bukan negara kerdil (dalam bola sepak),” kata jurulatih Maghribi, Herve Renard selepas perlawanan di laman sendiri itu.

Tunisia yang turut beraksi di tempat sendiri gagal menjinakkan negara jiran mereka Libya walaupun turun atas reputasi sebagai pasukan tidak pernah kalah sepanjang kempen kelaya­kan kali ini.

Walaupun pencabar terdekat Republik Congo menang 3-1 ke atas Guinea namun Tunisia masih memiliki kelebihan de­ngan mengumpul 14 mata - satu mata di atas Congo. Ini membolehkan mereka layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 2006. – AFP