Itu reaksi pengurus Manchester, Pep Guardiola City selepas pasukannya menumpaskan Liverpool 2-1 di Etihad hari ini, sekali gus mencerahkan peluang untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Kekalahan mengejut City kepada Crystal Palace dan Leicester sebelum ini membenarkan Reds melebarkan jurang mata, sekali gus berada di landasan terbaik untuk muncul juara liga sejak 1990.

Begitupun, kekalahan kepada anak-anak buah Guardiola menyebabkan City merapatkan jurang di belakang Liverpool kepada empat mata, berterima kasih kepada gol kemenangan Leroy Sane, 18 minit sebelum tamat perlawanan.

Terdahulu, Sergio Aguero membuka jaringan tuan rumah menerusi rembatan dari jarak sukar pada minit ke-40, namun Liverpol menyamakan kedudukan menerusi Roberto Firmino, minit ke-64.

“Ia ibarat final buat kami kerana jika kalah hari ini, kami hampir pasti boleh melupakan kejuaraan.

“Kami ketinggalan empat mata di belakang mereka dan Liverpool masih pendahulu. Begitupun, kemenangan ini me­ningkatkan keyakinan pasukan untuk mencabar gelaran.

“Saya bangga dengan pemain kami, bukan hanya kerana perlawanan hari hari ini tetapi apa yang telah mereka lakukan sejak 16 bulan lalu,” kata ­Guardiola.

Memandangkan Reds dan City tidak akan bertemu lagi dalam saingan liga selepas ini, maka peluang mereka untuk mempertahankan gelaran kini terletak di tangan sendiri.

“Kalau sebelum ini ada orang beritahu saya bahawa kami akan menerajui liga dengan empat mata selepas dua perlawanan menentang Manchester City, saya akan bagi duit kepada mereka.

“Kami menamatkan tahun 2018 dengan sangat baik dan masih berada di kedudukan bagus (untuk mencabar gelaran). Kami akan bangkit selepas ini,” kata pengendali Liverpool, ­Jurgen Klopp.

Dalam aksi hari ini, City me­nguasai saingan babak pertama, terutama beberapa minit sebelum saingan berhenti rehat.

Begitupun, Liverpool kembali agresif sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, malah Sadio Mane dan Mohamed Salah beberapa kali mencipta peluang terbaik tetapi tidak menghasilkan gol. – AFP