Pemain tengah remaja, Houssem Aouar menjaringkan dua gol, termasuk menyumbat gol kemenangan pada lewat permainan, dalam perlawanan yang menyaksikan Lyon bangkit daripada ketinggalan sebelum melengkapkan aksi dengan kejayaan 2-1 di Amiens dan melonjak ke tangga kedua mengatasi Monaco serta Marseille berdasarkan kelebihan perbezaan jaringan.

Marseille pula melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Saint-Etienne di Velodrome, dengan Valere Germain meledakkan dua gol.

Ketiga-tiga pasukan tersebut dipisahkan sembilan mata di belakang Paris Saint-Germain, yang sudah pasti menamatkan kalendar tahun ini di kedudukan teratas selepas menewaskan Lille 3-1, Sabtu lepas, hasil jaringan Angel di Maria, Javier Pastore dan Kylian Mbappe.

PSG yang beraksi tanpa kelibat Neymar kerana digantung perlawanan, menjadi pilihan untuk merangkul gelaran, yang sekali gus meninggalkan dua lagi slot untuk aksi Liga Juara-Juara musim depan menjadi rebutan tiga pasukan di bawah mereka.

Sementara itu, jaringan penyerang Itali, Balotelli pada separuh masa kedua memberikan kemenangan kepada Nice yang bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan FC Nantes 2-1. Nice kini mengumpul 23 mata untuk menghuni kedudukan kelapan dalam carta Liga Perancis. - AFP