Ahli-ahli sukan juga sering kelihatan dengan kereta-kereta sport dan tentunya mereka ini terdiri daripada kalangan atlet bergaji mahal.

Bagaimanapun, bagi Gareth Bale, minatnya memandu kereta super seperti Ferrari dan Lamborghini terpaksa dihentikan kerana faktor kecederaannya.

Bintang Wales dan Real Madrid itu telah berhenti memandu kereta-kereta super dan mewah di Sepanyol kerana dia percaya kenderaan itu menjadi punca kepada kecederaan hamstring berulang yang dialaminya dan telah membuatkan kariernya bersama Real suram.

Penyerang bergaji 300,000 pound (RM1.67 juta) seminggu itu pernah menandatangani satu skim yang membolehkannya menggunakan kereta-kereta sport setiap dua bulan, sejak Julai lalu, kesemuanya dengan bayaran 30,000 pound (RM167,000) setahun.

Jumlah itu masih terlalu kecil berbanding gaji pemain antarabangsa Wales itu, yang mendapat lebih ba­nyak untuk sehari bekerja. Tetapi Bale, yang sebelum ini sering memuat naik gambarnya bersama kereta-kereta super di media sosial, telah menarik diri daripada skim itu kerana reka bentuk kerusi dalam kereta-kereta se­perti Lamborghini yang pernah dipandunya telah menyebabkan dia cedera hamstring.

Firma kereta super Auto Vi­vendi memastikan bahawa salah sebuah daripada barisan kereta yang dimilikinya sentiasa tersedia untuk digunakan oleh Bale sebaik sahaja dia turun dari kapal terbang apabila kembali ke ibu negara Sepanyol, Madrid. Mereka juga menghantar kereta baharu ke depan pintu rumah pemain itu apabila Bale menukar kereta setiap dua bulan.

Tetapi satu sumber yang rapat dengan pemain itu memberitahu akhbar Britain, The Sun bahawa minat Bale memandu kereta sport mewah kini sudah ber­akhir, dan Bale sebaliknya memandu kereta lebih besar yang kurang memberi tekanan kepada tubuhnya untuk membolehkannya beraksi di padang.

“Lamborghini paling teruk — ramai pemain bola sepak berasakan begitu. Dia akan ada banyak masa untuk memandu kereta itu apabila sudah bersara nanti, jadi dia dengan kesalnya terpaksa menarik diri daripada skim itu,” kata satu sumber.

Sejak memasuki skim itu, Bale telah dilihat bergambar di sisi Lamborghini Aventador Roadster berharga 325,000 pound (RM1.8 juta), Ferrari 280,000 pound (RM1.55 juta) dan Mercedes-AMG SLS 160,000 pound (RM889,709).

Bale memulakan karier profesionalnya bersama Southampton, selaku pemain pertahanan kiri, dan mendapat reputasi sebagai pakar sepakan bebas. Selepas dibeli oleh Tottenham Hotspur pada 2007, pasukan baharunya memberikan dia pe­ranan sebagai pemain sayap.

Selepas menempuh beberapa musim yang sukar di White Hart Lane, Bale mula mempamerkan prestasi hebat di peringkat tempatan dan Eropah sehingga menarik perhatian kelab-kelab di seluruh benua itu yang mana akhirnya Real Madrid membeli­nya dengan harga 85.3 juta pound (RM474.3 juta) pada September 2013, yang menjadikannya pemain termahal sehinggalah rekod itu dipecahkan oleh Manchester United yang membeli semula Paul Pogba daripada Juventus dengan harga 100 juta pound (RM556 juta) tahun lalu.