Walaupun kalah, pengendali dari Sepanyol itu masih boleh menarik nafas lega kerana City tetap mara ke suku akhir menerusi kemenangan agregat 5-2 selepas menang 4-0 ke atas kelab Switzerland itu di laman lawan dalam pertemuan pertama.

“Mulai esok kami akan tetap bergembira kerana berjaya ke suku akhir buat kali kedua dalam sejarah kelab ini. Adalah jelas bahawa kami masih baharu dari segi pengalaman, jadi sudah tentu kami gembira de­ngannya (pencapaian ini).

“Cuma hari ini pada babak pertama sahaja kami bermain dengan bagus tetapi pada separuh kedua kami terlupa macam mana hendak menyerang dan bermain. Hanya hantar bola ke sana ke sini sesama sendiri. Cara itu langsung tidak bermakna. Memang teruk betul cara kami bermain pada babak kedua,” katanya selepas perlawanan.

Walaupun mara ke suku akhir, rekod bersih City tercalar kerana ini merupakan kekalahan pertama mereka di laman sendiri dalam tempoh 15 bulan dan yang keempat dalam semua pertandingan musim ini.

Dengan tidak menurunkan enam pemain utama ketika menewaskan Chelsea 1-0 Ahad lalu kerana berpegang kepada sistem penggiliran pemain, Guardiola pada mulanya lega apabila Gabriel Jesus meletakkan City lebih dulu di depan hanya selepas lapan minit permainan bermula.

Namun pasukan pelawat juga tidak perlu menunggu lama apabila menyamakan kedudukan sembilan minit selepas itu setelah Mohamed Elyounoussi berjaya mendedahkan kelemahan benteng pertahanan City yang selama ini dilihat sukar dibolosi.

Malah gol kedua Basel pada minit ke-71 hasil jaringan cantik Michael Lang sekali lagi membuktikan kekebalan pertahanan City bukan tidak boleh ditembusi jika dapat memanfaatkan peluang yang ada.

“Terlalu istimewa dapat menewaskan pasukan ini walaupun kami ditunjukkan jalan keluar daripada persaingan Liga Juara-juara. Kami boleh berbangga dengan persembahan kami ketika mengharungi satu perlawanan sukar,” kata jurulatih Basel, Raphael Wicky. – AFP