Terdahulu, biar­pun United mendominasi sebahagian besar perlawanan, namun mereka terpaksa me­nunggu sehingga minit ke-33 untuk membuka tirai jaringan menerusi penyerang baharu itu.

Pemain bernilai 75 juta euro (RM380.1 juta) yang dibeli dari Everton, Lukaku kemudian sekali lagi membuktikan bisanya apabila meledak gol kedua tuan rumah menerusi tandukan hasil hantaran Henrik Mkhitaryan tujuh minit selepas babak kedua bersambung.

Lima minit kemudian, gawang West Ham bocor lagi tetapi jaringan Mkhitaryan dibatalkan kerana ofsaid.

Tindakan pengurus Jose Mourinho mengeluarkan Marcus Rashford dan digantikan dengan Anthony Martial pada minit ke-80 membuahkan hasil apabila penyerang Pe­rancis itu menja­ringkan gol ketiga United tujuh minit selepas dimasukkan, sebelum Paul Pogba melengkapkan kemena­ngan United di pe­ng­hujung permai­nan.

“Dia menja­ringkan gol da­lam saingan Pi­ala Super, termasuk aksi hari ini. Dia bermain dengan sangat baik dan bekerja keras. Dia sukakan pasukan ini dan pasukan juga sukakannya.

“Buat mana-mana penyerang, mereka boleh menjadi fenomena namun jika dia gagal meledak gol, mereka akan terbeban dengan tekanan.

“Jadi ia bagus untuknya, bagus untuk (Everton) Wayne Rooney, (Arsenal) Alexandre Lacazette, (Chelsea) Alvaro Mo­rata yang mana kesemua pemain ini baharu yang tiba ke kelab masing-masing dan menjaringkan gol pada hari pertama.

“Dia mampu menarik nafas kegembiraan dan keyakinan buat pasukan. Romelo mengenali saya dengan baik. Dia tahu adakalanya penyerang mampu bermain dengan baik biarpun tanpa menjaringkan gol.

“Dia tahu melalui saya, tiada tekanan menyeluruh. Namun hari ini sangat bagus. Sangat efektif, terutama pada jari­ngan pertama,” kata Mou­rinho.

Sementara itu, Diego Costa mendakwa Mourinho ada menghubungi­nya selepas diberitahu dia tidak memiliki masa hadapan di Chelsea.

Bintang Sepanyol itu kini berada di Brazil selepas dimaklumkan oleh pengendali The Blues, Antonio Conte yang dia tidak ada dalam senarai perancangan kelab itu.

Costa masih kekal sebagai pemain The Blues selepas gagal mencapai kata putus untuk berpindah ke kelab lain.

Selepas diketepikan daripada skuad juara Liga Perdana Inggeris, Costa mendakwa menerima sokongan daripada beberapa individu termasuk bekas pengendali Chelsea, Mourinho.

Pengendali Manchester United itu menghubunginya secara terus untuk memeriksa keadaan semasa.

“Jose ada menghubungi saya untuk melihat keadaan saya dan saya berada dalam ke­adaan baik. Dia mendoakan masa depan yang baik untuk saya,” katanya.

“Saya tiada masalah dengan Jose dan memiliki hubungan yang baik. Semua pemain agak sedih kerana keadaan tidak begitu baik untuknya semasa berada di Chelsea,” katanya.

Costa juga mendakwa, beberapa pemain di Chelsea masih lagi berhubung dengannya.

“Semua orang tahu bahawa pengurus tidak memerlukan saya lagi dan saya menanti Chelsea untuk melepaskan saya. Saya tidak mahu pergi kerana saya sangat gembira di sini tetapi jika pengurus tidak mahukan awak, awak perlu pergi.

“Saya sentiasa berhubung dengan rakan sepasukan lain terutama Cesc Fabregas, David Luiz dan Willian,” katanya.

Meskipun Chelsea tewas dalam perlawanan pembukaan kepada Burnley, Sabtu lalu, Conte memberi bayangan bahawa dia tidak akan membawa Costa kembali ke dalam pasukannya.-AGENSI