Siri kontroversi yang dilakukan, sama ‘naik’ dengan kecemerlangan yang dilakar sama ada ketika beraksi buat skuad kebangsaan Uruguay mahu pun kelab.

Dia beberapa kali terpalit dengan isu perkauman dan tabiat pelik suka menggigit pemain lawan, malah Suarez juga sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu kemenangan pasukannya termasuk menahan bola menggunakan tangan.

Ketika beraksi bersama Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dari 2011 hingga 2014, dia tidak pernah sepi daripada menimbulkan masalah.

Biarpun sangat menyerlah, malah menamatkan karier di Anfield dengan bergelar Pemain Terbaik EPL, namun peminat tidak akan lupa bagaimana Suarez menggigit tangan pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic pada 2013. Dia kemudian digantung 10 perlawanan dan meminta maaf secara terbuka menerusi Twitter.

Begitupun Suarez tidak serik apabila mengulangi perbuatannya di pentas lebih besar, Piala Dunia 2014.

Kali ini, dia menggigit bahu pertahanan Itali, Giorgio Chiellini dan akibatnya digantung empat bulan oleh badan bola sepak dunia, FIFA.

Ini sebenarnya insiden gigitan ketiga dilakukan penyerang itu. Suarez juga pernah digantung kerana menggigit bahu pemain PSV, Otman Bakkal pada 2010 ketika beraksi buat Ajax di Belanda.

“Ketika isteri saya Sofi (Sofia Balbi) melihat semula ulang tayang video (insiden menggigit Chiellini), dia tanya saya ‘apa yang kamu fikir ketika itu?’. Saya hanya terdiam kerana saya juga bertanya soalan yang sama kepada diri sendiri.

“Saya adalah bapa kepada dua anak kecil. Saya terfikir, bagaimana anak saya membesar dengan melihat perangai bapanya begini,” katanya, yang mengakui tekanan tinggi dalam permainan kadangkala menyebabkan dia tidak dapat berfikir secara waras.

Pada 2012, Suarez mencetus kontroversi apabila menghambur kata-kata perkauman terhadap bek kiri Manchester United, Patrice Evra hingga digantung lapan perlawanan.

Pada Piala Dunia 2010, dia bertindak menjadi ‘penjaga gol’ Uruguay apabila sengaja menahan bola menggunakan tangan dalam kotak penalti bagi mengelak Ghana memperoleh kemenangan.

Ghana sudah bersedia ke separuh akhir apabila Dominic Adiyiah menanduk bola ke arah penjaga gol, Fernando Muslera pada minit ke-120 masa tambahan. Begitupun, Suarez menghadang tandukan itu. Dia dibuang padang dan Ghana dihadiahkan penalti.

Sepakan penalti Asamoah Gyan diselamatkan Muslera, dan kedua-dua pasukan seri 2-2 untuk mengheret permainan ke penentuan sepakan penalti yang dimenangi Uruguay 4-2.

Walaupun kariernya penuh warna warni, namun Suarez berkata, dia bangga dengan pencapaian yang diraih, apatah lagi memikirkan dia datang dari keluarga kelas bawahan di kejiranan yang disifatkan ‘amat sukar serta miskin’.

“Kami dari keluarga kelas bawahan. Saya tidak pernah berpeluang memilih kasut sendiri kerana keluarga kami sangat besar dan bapa pula tidak mampu.

“Ibu bapa saya melakukan apa saja yang termampu untuk kami tetapi sudah tentu mereka tidak dapat menyediakan banyak perkara kerana kami miskin. Namun, saya bersyukur dengan apa yang ada,” katanya, yang membantu Uruguay melangkah ke suku akhir Piala Dunia 2018 selepas menewaskan Portugal 2-1 semalam.