Bek tengah Reds itu ditimpa kecederaan hamstring pada awal perlawanan pusingan ketiga Piala FA yang menyaksikan Liverpool tersingkir daripada pertandingan tersebut selepas tewas 1-2 di tangan Wolves, Selasa lalu.

Lovren yang mendapatkan rawatan daripada staf perubatan Liverpool, sebaik di bawa keluar daripada perlawanan tersebut, difahamkan tidak sempat cergas untuk pertemuan dengan Brighton.

Namun, pertahanan antarabangsa Croatia itu tidak pula diketepikan dalam perlawanan menentang Crystal Palace untuk minggu berikutnya. Liverpool telahpun kehilangan dua bek tengah mereka iaitu Joe Gomez dan Joel Matip yang turut ditimpa kecederaan.

Matip tidak sempat cergas untuk aksi hujung minggu ini kerana tulang selangkanya patah sewaktu Liverpool mencatat kemenangan ke atas Napoli dalam perlawanan Liga Juara-Juara, bulan lalu.

Bos Liverpool, Klopp bagaimanapun amat berharap Matip akan sempat pulih sepenuhnya sewaktu Crystal Palace bertandang ke Anfield 19 Januari ini.

Gomez pula masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan keretakan kaki dan dia mungkin tidak sempat pulih sehingga bulan depan. Klopp kini akan memutuskan sama ada untuk meletakkan Fabinho ataupun Georginio Wijnaldum beraksi di bek tengah, hujung minggu ini.

Fabinho diletakkan selaku bek tengah sewaktu Reds menentang Wolves dalam Piala FA, sementara Klopp pernah menggunakan Wijnaldum sebagai sebahagian benteng pertahanan pasukannya sebelum ini. - AGENSI