MENERUSI tangkap layar video yang dikongsi Dejan Lovren, kelihatan peminat mirip bintang sayap Liverpool, Mohamed Salah sedang menyorong basikalnya dengan lengkap mengenakan jersi Liverpool. - Instagram dejanlovren06

Bintang antarabangsa Mesir itu menjadi peledak gol buat Liverpool sejak beberapa musim yang lalu, dan ramai yang percaya Salah masih belum mencapai prestasi terbaiknya.

Pada ketika Liverpool terus mengorak langkah untuk merangkul trofi Liga Perdana Inggeris, para peminat mula belajar menghargai bakat sebenar yang dimiliki `ayam tambatan’ Reds itu.

Sehingga ke satu tahap, ada yang sanggup berpakaian seperti Salah dan memiliki paras rupa sepertinya! Sebagai contoh, seperti video yang dikongsi oleh Dejan Lovren.

Bek tengah itu telah berkongsi sebuah video menerusi Instagram dengan niat untuk mengusik rakan sepasukannya di mana peminat Salah yang mirip dengan bintang Mesir itu sedang berjalan sambil menyorong basikalnya. Peminat tersebut juga lengkap mengenakan jersi Liverpool beserta seluar pendek.

Di dalam kapsyen Lovren menulis: “Salah mahu masa untuk bersendiri, jadi dia mengayuh basikal selepas perlawanan Southampton dan berjaya tiba di Liverpool dengan catatan rekod . (11 jam, 52 minit) @mosalah.”

Peminat berasakan usikan Lovren itu sebagai sesuatu yang melucukan, malah, Salah sendiri turut membalas gurauan Lovren tersebut dengan memberi tindak balas yang paling sesuai.

Pemain sayap kanan itu yang agak pendiam orangnya, telah meletakkan emoji yang sedang tergelak besar bagi membalas kenyataan Lovren tersebut. - AGENSI