Bek tengah Liverpool, Virgil Van Dijk meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-30, sebelum dua gol lewat permainan Memphis Depay (m-86) dan Georginio Wijnaldum (m-90) melengkapkan malam indah skuad Oranje di Arena Johan Cruyff, Amsterdam.

Hari gelap bola sepak Jerman berterusan selepas aksi mengecewakan dalam Piala Dunia, Julai lalu, yang menyaksikan mereka tersingkir setelah menghuni tangga ter­corot kumpulan.

Skuad Die Mann­schaft tidak boleh kalah lagi apabila berdepan juara dunia, Perancis di Paris, Rabu ini jika enggan tersingkir daripada Kumpulan 1 Liga Negara-Negara.

Mereka kini menghuni tangga tercorot menerusi satu mata selepas seri 0-0 dengan Perancis, 6 September lalu.

“Saya faham akan ada perdebatan mengenai kekalahan ini dan kami perlu berdepan de­ngannya.

“Dalam tempoh dua hari ini, saya perlu fokus kepada persediaan menghadapi perlawanan di Paris, menentang Perancis dan bukan tentang apa yang diperdebatkan, namun perdebatan ini adalah perkara biasa.

“Kami perlu mempamer karakter sebenar apabila bertemu Perancis dan memenangi perlawanan timbal balik menentang Belanda atau bakal tersungkur,” kata Loew kepada stesen televisyen, ZDF.

Selepas bekas kapten Jerman, Michael Ballack sebelum ini berkata, dia terkejut Loew masih mengekalkan jawatannya ekoran prestasi buruk Piala Dunia, kekalahan besar kepada Belanda meningkatkan tekanan jurulatih tersebut. – AFP