Berbekalkan rekod cemerlang membelasah Liverpool 5-0 pada awal musim, Guardiola menjangkakan bakal berdepan misi balas dendam anak-anak buah Jurgen Klopp dalam usahanya untuk melebarkan penguasaan selaku pendahulu liga.

Ketika ini, City berada 15 mata di depan pasukan di tempat ke­dua liga iaitu Manchester United dan 18 mata di depan Liverpool yang menghuni anak tangga keempat.

Jika berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di Anfield, City mempunyai baki 15 perlawanan lagi untuk mencipta sejarah tersebut sekali gus mengikut jejak Arsenal (2003-04) dan Preston (1888-89) yang tidak pernah kalah dalam satu musim.

“Sudah tentu jika anda mahu mencipta sejarah itu dan pada masa sama muncul pula juara liga, anda perlu menang perlawanan (menentang Liverpool) seperti ini. Di Chelsea, kami sudah berjaya melakukannya tetapi kami masih perlu melaluinya di Anfield, Emirates dan menentang Tottenham.

“Ada beberapa lagi perlawanan sukar di tempat lawan yang perlu kami hadapi. Jadi banyak kerja perlu dibuat tetapi di Anfield adalah ujian sebenar kami kerana merupakan stadium milik pasukan terkenal di dunia. Kami akan cuba memberikan persembahan terbaik memandangkan ini perlawanan besar,” ujar Guardiola yang pasukannya sudah melalui 30 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan.

Berbanding Liverpool yang tidak kurang hebatnya kerana sudah melalui 17 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandi­ngan, tumpuan sudah pasti kepada sejauh mana mereka mampu mengatasi kehilangan Philippe Coutinho dalam perlawanan itu.

Kali terakhir Liverpool kalah ialah di tangan Tottenham pada 22 Oktober tahun lalu dan pemergian Coutinho ke Barcelona bakal menentukan sama ada pemain yang ada sekarang mampu mengekalkan rekod tanpa kalah tersebut.

“Adalah menarik menentang City. Mereka bermain cukup bagus dan jika anda tidak menghormati kehebatan itu, anda akan berdepan masalah. Tetapi jika anda tidak cukup berani menentang mereka pun, satu masalah juga. jadi tunjukkan kemampuan sebenar anda,” kata Klopp sebagai mesej penting kepada pemain-pemainnya. – AFP