Skuad Reds dalam pemburuan memenangi gelaran raja bola sepak Inggeris sejak 1990, di mana kejayaan ke atas Chelsea di Anfield itu nanti akan membantu mereka merealisasikan impian.

Blues bagaimanapun mempunyai memori lama yang masih segar dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Kembali ke tahun 2014, Liverpool yang pada ketika itu di bawah bimbingan Brendan Rodgers menduduki tangga teratas sebelum tewas 0-2 kepada Chelsea di Anfield, di mana perlawanan tersebut menjadi buah mulut peminat bola sepak apabila Steven Gerrard tergelincir sehingga memberi peluang untuk Demba Ba menjaringkan gol.

Kepedihan itu masih dirasai sehingga kini dan esok, pentas sama akan menjadi penentu sama ada seterunya Manchester City berpeluang untuk mempertahankan kejuaraan sekalipun ketinggalan 2 mata di belakang Liverpool, namun memiliki satu hutang perlawanan.

“Saya kurang pasti pemain masih dihantui dengan peristiwa lama itu. Anda boleh bagi tahu semua penyokong di luar sana supaya melupakannya. Ia langsung tidak mempengaruhi kami kerana ia adalah kisah yang berlainan.

“Ia tentang perlawanan hari Ahad ini. Sesiapa yang mahu bercakap tentang kisah lama itu kepada pemain saya, jangan lakukannya. Kami mahu menulis sejarah kami sendiri.

“Saya tidak gementar. Saya dapat rasakan kesungguhan dalam cabaran ini, namun buat masa ini kami masih positif.

“Kami mahu membuat langkah seterusnya kerana ia belum tamat. Kami cuba memberi galakan kepada mereka untuk mengharungi cabaran getir dalam bola sepak. Kami mungkin akan melakukan kesilapan, tetapi kami perlu menebusnya,” kata Klopp.- AFP