Skuad kendalian Jurgen Klopp dina­fikan tiga sepakan penalti dalam pertembungan menentang Manchester United yang berkesudahan tumpas 2-1 dan pengendali dari Jerman itu terkilan selepas menyaksikan Marouane Fellaini melakukan kekasaran terhadap Sadio Mane manakala Marcus Rashford dan Antonio Valencia terlepas daripada hukuman layangan kad merah.

Rashford beraksi dengan cemerlang di Old Trafford apabila meledak ke­dua-dua gol perlawanan dan penyerang United itu sepatutnya menerima kad kuning pertama apabila bertindak ma­suk kawasan penonton ketika meraikan jaringannya namun pengadil, Craig Pawson tidak berbuat sedemikian.

Pemain berusia 20 tahun itu hanya menerima kad kuning selepas mengasari James Milner. Rashford kemudiannya melakukan kekasaran terhadap Trent Alexander-Arnold dan insiden itu sepatutnya dia dilayangkan kad kuning kedua namun nasib menyebelahinya.

Pasukan pelawat dinafikan hak mereka untuk mendapatkan tendangan penalti setelah Mohamed Salah dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Ashley Young namun Pawson berasakan penalti tidak wajar diberikan.

Sementara Valencia pula tidak diarah keluar padang selepas mengangkat kaki tinggi sehingga butnya terkena bahagian dada penyerang Liverpool, Sadio Mane. Mane pernah dilayangkan kad merah pada awal musim ini selepas melakukan kesalahan seumpama itu terhadap Ederson. – AGENSI