Jaringan Sadio Mane seawal minit ke-10 dan Roberto Firmino pada minit ke-45 sudah cukup menghadiahkan tiga mata buat Reds di Stadium King Power, sekali gus membolehkan anak-anak buah Jurgen Klopp mengutip 12 mata maksimum dalam empat perlawanan pertama musim ini.

Leicester, juara 2015/2016 yang beraksi tanpa penyerang utamanya, Jamie Vardy cuba memberi tekanan kepada pasukan pelawat pada babak kedua, namun jaringan pemain tengah Algeria, Rachid Ghezzal pada minit ke-63 tidak cukup untuk mengejar lawan.

Kemenangan itu juga melegakan Alisson yang melakukan kesilapan besar untuk membuka laluan kepada jaringan tuan rumah.

Penjaga gol Brazil itu gagal mengeluarkan bola yang dihantar ke belakang oleh pertahanan Liverpool, Virgil van Dirk dan ia kemudian dirampas Kelechi Iheanacho, yang melakukan hantaran untuk disempurnakan Ghezzal.

“Ia bermula dengan permainan kurang kemas Virgil van Dijk apabila melakukan hantaran ketika penjaga gol tidak berada di posisi yang bagus.

“Bagaimanapun dia (Alisson) patut mengeluarkan bola, jangan cuba tunjuk pandai. Kamu tidak perlu nak bergaya,” kata legenda Jamie Carragher kepada Sky Sports. - AGENSI