Difahamkan, minggu ini, Reds telah meminta kenalan mereka di Jerman untuk memaklumkan perkembangan terkini mengenai Werner dan masa depannya bersama kelab itu.

Werner, 23, dilaporkan berang terhadap kelabnya yang mencapai kata persetujuan berhubung perjanjian dengan Bayern Munich, meskipun tiada rundingan antara kedua-dua kelab.

Ejen penyerang itu, Karlheinz Forster, sebelum ini pernah berunding bersama juara Bundesliga tersebut, dengan Werner dikatakan bersedia untuk berpindah ke Allianz Arena.

Bagaimanapun, menurut Bild, Bayern kini mengalihkan fokus untuk mengikat bintang penyerang mereka, Robert Lewandowski dengan perjanjian baharu.

Difahamkan, kelab gergasi Bundesliga itu mahu mengekalkan status pemain tersebut sebagai tonggak utama mereka dengan menawarkan satu perjanjian baharu memandangkan kontraknya sekarang akan tamat 2021.

Ekoran perkembangan itu, telah meletakkan Liverpool sebagai pilihan utama untuk mendapatkan tandatangan Werner, dengan kelab Liga Perdana Inggeris itu bertekad mencari pengganti Daniel Sturridge yang bersedia meninggalkan Anfield, musim panas ini.

Leipzig turut melancarkan pencarian wajah baharu menjelang musim depan, dan dilaporkan sedang memantau perkembangan penyerang Chelsea, Tammy Abraham.

Media Britain, The Sun melaporkan bahawa Abraham, yang dipinjamkan ke Aston Villa telah meledakkan 21 gol, musim ini, dijangka menjadi bintang muda England terbaharu yang akan berpindah ke Jerman. - AGENSI