Bagaimanapun, pengendali kelab dari Merseyside itu, Jurgen Klopp percaya perjuangan mereka masih belum berakhir kerana akan menanti kunjungan kelab yang sama dalam saingan timbal balik di Anfield pada 23 Ogos ini.

“Saya gembira dengan persembahan yang ditunjukkan mereka dan kami sepatutnya menang dengan keputusan 2-0, namun, lawan berjaya memperoleh gol tunggal sebelum wisel penamat ditiupkan.

“Dalam perlawanan ini juga, kami sepatutnya boleh menja­ringkan sekurang-kurangnya satu atau dua lagi gol sebelum beraksi di Anfield.

“Apapun, saingan sebenar masih belum berakhir,” kata Klopp.

Penjaga gol The Reds, Simon Mignolet bertindak cemerlang apabila menyelamatkan tendang­an penalti pada separuh masa pertama perlawanan sebelum pemain pertahanan berusia 18 tahun, Trent Alexander-Arnold meletakkan Liverpool di depan menerusi satu sepakan bebas yang menarik.

Bekas pemain England, James Milner kemudian meletakkan Liverpool selesa di depan pada minit ke-75 selepas rembatan kencangnya terkena pemain Hoffenheim sebelum bola membias masuk ke dalam gawang gol.

Tuan rumah bagaimanapun bernasib baik apabila penyerang mereka, Mark Uth berjaya melepasi perangkap ofsaid dan menjaringkan gol sagu hati ketika perlawanan hampir ditamatkan.

Dalam pada itu, pengendali Hoffenheim, Julian Nagelsmann berkata, mereka sepatutnya layak untuk mencatatkan sekurang-kurangnya keputusan seri dalam perlawanan itu.

“Kami bermain dengan berani, namun agak terbuka pada separuh masa kedua hingga mengundang risiko yang tinggi kepada pasukan,” katanya. – AFP