Kelab gergasi Sepanyol itu hanya dibenarkan menandatangani bintang Reds jika mereka membayar tambahan 89 juta pound (RM476 juta) untuk sebarang yuran perpindahan mana-mana pemain sehingga 2020.

Difahamkan, Liverpool telah memasukkan klausa tersebut sewaktu bersetuju menjual Philippe Coutinho kepada Barcelona dengan harga 142 juta pound (RM760 juta) pada Januari. Ini bermakna, Barcelona perlu mengeluarkan peruntukan lebih 200 juta pound (RM1.07 billion) jika mereka berhajat mendapatkan khidmat pemain seperti Salah ataupun Van Dijk.

Sadio Mane juga pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Sepanyol, tetapi kelihatannya tiada seorangpun bekas rakan sepasukan Coutinho akan mengikut jejak langkahnya ke Nou Camp dalam masa terdekat ini.

Barcelona pernah menandatangani Luis Suarez dari kelab Merseyside itu menerusi perjanjian yang mencetuskan kontroversi pada 2014. Pemain Uruguay itu memaksa perpindahnnya ke Nou Camp, meski­pun Reds terdesak mengekalkannya.

Liverpool juga enggan melepaskan Coutinho berpindah ke Sepanyol dan Reds jelas berang terhadap kelab La Liga itu yang meneruskan niat mereka. Musim panas lalu, Liverpool memberi amaran kepada Barcelona agar tidak mendekati Coutinho atau perbuatan mereka diadukan kepada FIFA.

Barca tetap berdegil mencuba dan gagal melancarkan bidaan sebelum tarikh akhir jendela perpindahan ditutup, dengan Coutinho enggan bermain bersama Reds sehingga tempoh tersebut. Namun, pada Januari, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp akhirnya akur melepaskan Coutinho tetapi Barca perlu bersetuju meme­nuhi syarat yang ditetapkan Reds.

Pengarah Sukan Liverpool, Michael Edwards mewujudkan satu klausa bagi menyekat Barcelona kembali memburu pemain terbaik mereka untuk dua tahun akan datang. Juara La Liga itu perlu membayar tambahan 89 juta pound untuk sebarang yuran perpindahan jika mereka berminat membeli bintang Liverpool.

Barcelona akhirnya setuju dengan klausa pelik itu dan ia turut menunjukkan betapa terdesaknya mereka membawa Coutinho ke Nou Camp, awal tahun ini. –AGENSI