Jurgen Klopp

Dalam sembilan perlawanan menentang kesemua pasukan besar musim ini, Liverpool belum tewas dan telah mengumpul 19 mata menjelang kunjungan mereka ke Manchester City yang kini menghuni tempat ketiga.

Kejayaan ke atas City bakal menyaksikan Reds meraih kemenangan keenam daripada tujuh perlawanan menentang Sky Blues dalam Liga Perdana, dan turut membuka laluan untuk Liverpool memintas skuad bimbingan Pep Guardiola itu.

Sebanyak lima kelab kini bertarung untuk merebut kedudukan kedua, ketiga dan keempat di belakang pendahulu Chelsea.

Semakin tinggi kualiti pasukan lawan, maka semakin baiklah Liverpool beraksi musim ini setelah Reds membuktikan mereka mampu meraih kemenangan ke atas Chelsea dan Tottenham Hotspur.

Malah, Liverpool turut melakar kejayaan berganda bertemu Arsenal dan kemenangan tipis di laman sendiri ke atas City, yang kecewa kerana tersingkir di tangan Monaco dalam Liga Juara-juara, mampu menjadi penyuntik semangat kepada kelab Anfield itu.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Burnley hujung minggu lepas pada ketika kesemua pasukan di sekeliling mereka perlu bertarung dalam Piala FA, tetapi bekas penyerang Liverpool, John Aldridge berkata pungutan mata kini menjadi keutamaan berbanding gaya permainan yang cantik.

“Mengutip tiga mata penuh amat penting dalam usaha Liverpool untuk merebut slot ke Liga Juara-juara. Dari segi mental, ini merupakan satu langkah yang besar buat Liverpool.

“Saya tahu kami telahpun beraksi lebih dua perlawanan berbanding Arsenal dan Manchester United, tetapi saya lebih rela terus mengutip mata berbanding mengharungi jadual perlawanan yang padat,” kata Aldridge, yang memenangi gelaran bersama Liverpool pada 1987-88, kepada laman web kelab.

Liverpool, yang kini bersaing sengit dengan City untuk berada dalam kelompok empat terbaik, menghuni kedudukan keempat setelah mengumpul 55 mata daripada 28 perlawanan, hanya satu mata di belakang City dan Tottenham Hotspur yang menghuni tempat kedua, namun kedua-dua pasukan itu masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.

Apa yang lebih penting, mereka mempunyai kelebihan lima mata ke atas Arsenal dan enam berbanding United. Selain itu, Liverpool juga boleh menumpukan perhatian kepada 10 perlawanan terakhir tanpa gangguan daripada pesaing mereka yang merebut kedudukan empat teratas. – REUTERS