Reds mencatat keuntungan 81.3 juta euro (RM381.87 juta) selepas muncul naib juara Liga Juara-Juara musim lalu, dan memandangkan mereka tidak beraksi dalam pertandingan itu pada musim sebelumnya jumlah tersebut dianggap tinggi.

Penjualan bintang tengah Brazil, Philippe Coutinho kepada Barcelona pada harga 130 juta euro (RM610.62 juta), Januari lalu turut menyumbang kepada keuntungan mereka.

Biarpun Jurgen Klopp ber­belanja besar ketika membawa masuk Mohamed Salah, Virgil van Dijk, Andrew Robertson dan Alex Oxlade-Chamberlain ketika tahun kewangan berakhir pada Mei 2018, ia tidak memberi kesan kepada keuntungan yang dicatat kelab berkenaan.

Menurut Inside World Football, Liverpool akan mengatasi rekod yang dipegang Leicester, yang mencatat keuntungan bersih (selepas cukai) 98 juta euro (RM460.31 juta) pada 2017.

Keuntungan Foxes dua tahun lalu adalah yang ­tertinggi pernah dicatat mana-mana kelab bola sepak selepas mereka mengatasi rekod Tottenham iaitu 78 juta euro (RM366.37 juta) pada 2014.

Keuntungan bersih kelab-kelab Liga Perdana Inggeris tersebut tinggi kerana tidak membayar gaji terlalu mahal seperti diamalkan pasukan gergasi Eropah.

“Penampilan dalam Liga Juara-Juara musim 2017 membolehkan Leicester menikmati hadiah 82 juta euro (RM385.35 juta), sekali gus mencatat keuntungan bersih ter­tinggi dalam sejarah bola sepak.

“Liverpool mampu mengatasi jumlah itu kerana mereka kini mendahului Liga Perdana dan masih bersaing dalam Liga Juara-Juara,” menurut Inside World Football.