Apa yang lebih melegakan pengendali Reds, Jurgen Klopp adalah memastikan gawang mereka tidak dibolosi di laman sendiri.

Biarpun Liverpool mensia-siakan banyak peluang untuk menambah jaringan selepas menguasai sebahagian besar permainan, namun keputusan itu tetap menggembirakan Klopp.

Keita meletakkan tuan rumah di depan seawal minit kelima selepas rembatannya terkena pemain lawan, Oliver Torres sebelum menerjah ke dalam gawang.

Ini adalah jaringan kedua bintang Guinea itu bersama Liverpool, namun ia adalah yang pertama buatnya di pentas Eropah.

Firmino menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-26 selepas menolak hantaran rendah Trent Alexander-Arnold.

Kedua-dua pasukan akan berentap sekali lagi dalam aksi timbal balik di Portugal, Rabu depan yang mana pemenang akan bertemu sama ada Barcelona atau Manchester United.

Dalam perlawanan itu juga, Klopp melakukan tiga pertukaran berbanding skuad yang menewaskan Southampton 3-1 dalam Liga Perdana Inggeris, Jumaat lalu.

Dejan Lovren mendapat tempat dalam kesebelasan utama buat kali pertama sejak Januari manakala James Milner mengisi posisi bek kiri ekoran penggantungan Andy Robertson.

Kapten, Jordan Handerson pula

mengetepikan Georginio Wijnaldum untuk mengetuai bahagian tengah.

Pertahanan tengah England, Joe Gomez turut disenaraikan dalam skuad buat kali pertama sejak patah kaki di Burnley, 5 Disember lalu. - AGENSI