Namun, peranan kini bertukar apabila kelab Liga Perdana Inggeris itu pula yang bertandang ke Parc de Princes, esok dengan PSG terdesak memburu kemenangan bagi memastikan peluang mara ke peringkat 16 terbaik berada di tangan sendiri.

Juara Perancis itu sepatutnya perlu memanfaatkan peluang, jika menyedari tentang hakikat Liverpool tidak memiliki rekod baik beraksi di laman lawan, musim ini. Tewas kepada Napoli dan Red Star Belgrade, mendedahkan kepincangan skuad bimbingan Jurgen Klopp itu di padang lawan.

Bagaimanapun, bek tengah Reds, Virgil van Dijk menggesa rakan sepasukannya agar tidak gentar untuk menghadirkan tekanan ke atas PSG apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Kumpulan C itu nanti. Liverpool kini menghuni kedudukan kedua, tetapi hanya dipisahkan satu mata di depan PSG setelah mengumpul enam mata.

“Liverpool mungkin berasa tertekan, tetapi anda sepatutnya perlu mempamerkan sikap berani berdepan cabaran. Saya sama sekali tidak berasa terganggu. Saya hanya mahu bermain. Saya mahu menikmati perlawanan kerana tidak semua pemain mempunyai peluang seperti apa yang kami miliki.

“Itulah permulaan bagaimana kami bermain dengan baik, menikmati apa yang kami lakukan dan sebab itu saya perlu cuba melakukannya dengan sebaik mungkin. Saya tidak perlu takutkan apa-apa. Kami menghormati lawan, namun, kami juga mahu mencipta kemenangan.

“Kami layak ke final pada musim lalu dan kami mahu mengulanginya pada musim ini. Itu matlamat kami,” kata Van Dijk.

Namun, Liverpool menerima berita buruk apabila tahap kecergasan Sadio Mane berada di tahap membimbangkan selepas dia didapati demam. Mane akan dinilai terlebih dahulu oleh pegawai perubatan pasukan ketika menjalani latihan di Melwood sebelum berlepas ke Perancis. – AGENSI