Reds berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir di Kiev, musim lalu, tetapi tewas 1-3 kepada Real Madrid.

Mereka hampir tersingkir daripada aksi peringkat kumpulan, musim ini, tetapi kejayaan mengalahkan Napoli di Anfield membolehkan Reds menempah slot ke peringkat kalah mati.

Liverpool bakal berdepan kelab gergasi Jerman, Bayern Munich di peringkat 16 terbaik dan Robben berkata, undian tersebut adalah yang terburuk terpaksa dihadapi pasukannya.

“Liverpool beraksi baik sekali lagi, seperti tahun lalu apabila mereka mara ke perlawanan akhir, dan saya juga melihat Reds sebagai pasukan pilihan untuk saingan Liga Juara-Juara, musim ini.

“Bagi kami, undian kali ini adalah yang paling teruk terpaksa kami harungi, tetapi ia bakal menjadi cabaran yang cukup menarik. Kami perlu melihat ke arah diri kami sendiri, terus bekerja keras dan meningkatkan kualiti persembahan.

“Jika, kami mengharungi hari yang baik dan beraksi seperti yang kami mahukan, saya yakin kami mampu memberikan laluan yang sangat sukar buat Liverpool,” kata pemain antarabangsa Belanda itu.

Robben turut memuji rakan sepasukannya dalam skuad Belanda, Virgil van Dijk yang mempamerkan peningkatan apabila muncul antara pertahanan terbaik di dunia sejak menyertai kelab Anfield itu.

Reds hanya dibolosi 10 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris, musim ini, dan dipisahkan empat mata mengatasi juara bertahan, Manchester City di kedudukan pendahulu.

“Saya tidak tahu jika dia pertahanan terbaik di dunia, orang lain boleh menilainya, tetapi saya gembira untuknya. Dia berjaya mengorak langkah yang besar sejak kebelakangan ini, lihat sahaja dari mana dia datang.

“Dia bukan sahaja menunjukkan kemajuan sebagai pemain, malah personalitinya. Saya gembira menyaksikan di mana dia berada ketika ini. Dia merupakan tonggak kepada sebuah kelab gergasi, dan juga kapten skuad kebangsaan Belanda. Dia berhak mendapat semua pujian itu,” kata Robben ketika diminta mengulas mengenai Van Dijk. - AGENSI