Pengendali Reds itu dikritik kerana melakukan sembilan pertukaran hingga menyebabkan pasukannya tewas 1-2 kepada Wolverhampton, iaitu kekalahan kedua berturut-turut selepas tumpas 1-2 di tangan pencabar utama Liga Perdana Inggeris, Manchester City.

Selepas ‘mengorbankan’ Piala FA demi memburu gelaran Liga Perdana pertama dalam tempoh 29 tahun, penyokong Reds mengharapkan tindakan itu berbaloi dan pasukan ke­sayangan mereka akan bangkit apabila menentang Brighton, esok.

Reds kini sudah tersingkir dalam dua pertandingan domestik iaitu Piala FA dan Piala Liga, itu bermakna mereka boleh memberi tumpuan penuh kepada Liga Perdana serta Liga Juara-Juara.

“Dua kekalahan berturut-turut bukan perkara yang baik buat kami, namun ia pasti akan berlaku dalam semusim. Apa yang penting, bagaimana kami bertindak balas selepas kalah.

“Karakter kami akan diuji selepas ini. Kami tahu bagaimana hendak bangkit dan kami akan bangkit,” kata bintang tengah Reds, James Milner.

Klopp akan menyenaraikan semula tonggak yang dike­tepikan dalam Piala FA, namun Dejan Lovren tidak akan beraksi.

Pemain Croatia itu meningkatkan kebimbangan di benteng pertahanan kerana menyertai dua lagi bek tengah, Joe Gomez dan Joel Matip yang sudahpun disisih awal akibat kecederaan.

Memasuki Januari adalah tempoh yang amat menguji Liverpool untuk mengekalkan kedudukan teratas.

Selepas 21 perlawanan, mereka mendahului saingan dengan 54 mata, hanya empat mata mengatasi City.

Sebarang kesilapan di ­Brighton esok akan menjejaskan misi Reds untuk menjulang kejuaraan. – AGENSI