Sadio Mane terdahulu meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-24, namun United memberi tentangan, sembilan minit kemudian selepas Jesse Lingard berjaya menyamakan kedudukan.

Kemasukan Shaqiri menggantikan Naby Keita pada minit ke-70, nyata membawa impak besar kepada Reds.

Hanya tiga minit selepas dibawa masuk, pemain Switzerland itu merembat bola lantun yang gagal ditangkap kemas penjaga gol United, David de Gea untuk kembali meletakkan Liverpool di depan.

Ketika permainan berbaki 10 minit untuk ditamatkan, Shaqiri meledak gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu dengan melepaskan tendangan kencang yang gagal diselamatkan De Gea.

Kemenangan itu bukan sahaja membolehkan Reds merampas teraju liga daripada Manchester City dengan kelebihan satu mata, malah membolehkan mereka kekal sebagai satu-satunya pasukan yang belum pernah tewas musim ini.

Liverpool jelas pasukan yang lebih baik hari ini apabila menguasai 65 permainan dan melancarkan 47 percubaan ke gawang lawan berbanding hanya lapan yang dilakukan Red Devils.

Reds yang masih segar dengan kejayaan melangkah ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, Khamis lalu akan menentang Wolverhampton dalam saingan liga seterusnya, Sabtu ini.

Selepas mengharungi 17 perlawanan, Liverpool mengungguli liga dengan 45 mata, diikuti City 44, Tottenham 39, Chelsea 37 dan Arsenal 34.

United di tangga keenam dengan 26 mata. - AGENSI