Pengendali The Reds, Jurgen Klopp menyifatkan kejayaan itu sebagai tanda skuad kendaliannya sudah kembali ke tahap sebenar­nya seperti sebelum ini.

Kali terakhir juara Eropah lima kali itu mara ke peringkat itu adalah pada 2009 dan tewas kepada Chelsea 5-7 secara agregat.

“Keadaan ini sangat baik, jujur saya katakan, saya dapat rasakan ramai penyokong menantikan saat-saat ini.

“Saingan lapan pasukan terbaik memang bagus tetapi kami belum puas hati kerana saya fikir kami perlu mara lebih jauh,” kata Klopp.

Klopp yang sebelum ini membawa Borussia Dortmund ke final Liga Juara-Juara pada 2012 sebelum tewas kepada Bayern Munich berkata, kemaraan Liverpool ke suku akhir membuktikan proses pembangunan semula sedang berjalan dengan baik di Anfield.

“Ini adalah proses pembangunan di Liverpool buat masa sekarang tetapi jika kami tidak melangkah jauh ke kejohanan besar seperti Liga Juara-Juara, tiada siapa akan menyedari proses yang sedang berlaku ini.

“Jadi, saya sangat gembira dengan mereka yang terlibat dalam proses ini. Kami perlu teruskan proses ini,” katanya.

Klopp yang berada dalam musim ketiganya di Merseyside berkata, perkembangan skuadnya di pentas elit Eropah itu merupakan sesuatu yang berada dalam jangkaannya.

“Tiada garis masa dalam fikiran saya. Saya tidak mahu perkara ini kelihatan terlalu kecil atau terlalu besar.

“Tahun ini memang kami layak berada di sini, ia tidak seharusnya menjadi kejutan besar tetapi pusingan berikutnya akan mejadi lebih sukar kerana tujuh pasukan lagi merupakan pasukan yang hebat mungkin empat atau lima pasukan dari England, jadi ia bukan mudah.

“Saya rasakan kami berpeluang ke separuh akhir, sudah pasti ia adalah sasaran kami,” katanya.

Sementara itu, pengurus Porto, Sergio Conceicao merasakan Liverpool yang kali terakhir menjadi juara pada 2005 memiliki kekuatan untuk mengulangi pencapaian itu. – REUTERS