Perlawanan timbal balik pertama akan berlangsung 15 dan 16 Ogos ini dengan aksi kedua diadakan pada 22 dan 23 Ogos. Antara dua perlawanan timbal balik itu, skuad bimbingan Jurgen Klopp turut terbabit dalam aksi domestik menentang Crystal Palace di laman sendiri.

Selaku kelab pilihan, Liverpool menikmati kelebihan bermain di Anfield dalam perlawanan penentuan, manakala Celtic pula terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh sebelum bertemu Astana dalam timbal balik kedua.

Skuad bimbingan Brendan Rodgers perlu terbang ke ibu negara Kazakhstan sejauh 8,000 batu, sementara aksi Liga Perdana yang menanti Celtic pada ketika itu ialah menentang Kilmarnock di tempat lawan.

Anak-anak buah Jurgen Klopp berjaya mengelak daripada beraksi dalam perlawanan ‘reunion’ dengan bekas penyerang, Mario Balotelli yang akan pulang ke tanahairnya bertemu pasukan Serie A selepas Nice diundi menentang Napoli.

Hoffenheim mengintai peluang untuk melakar sejarah dengan melayakkan diri buat kali pertama ke Liga Juara-juara apabila bertemu kelab Liga Perdana Inggeris tersebut.

Mereka menamatkan saingan Bundesliga di kedudukan keempat yang merupakan pencapaian terbaik kelab itu dan hanya dipisahkan dua mata di belakang Borussia Dortmund.

Penjaring terbanyak mereka dalam kempen lalu, Andrej Kramaric, pernah mencipta rekod perpindahan sewaktu menyertai Leicester City, tetapi pemain itu gagal menjelmakan impak dalam aksi Liga Perdana. Dia meledakkan 15 gol dalam Bundesliga yang sekali gus memulihkan kembali kariernya.

Sementara Liverpool diletakkan sebagai pasukan pilihan, Klopp selaku pengurus Reds sudah pasti sedar bahawa Hoffenheim tidak pernah tumpas di laman sendiri sepanjang musim 2016/17 apabila melakar 11 kemenangan dan enam seri yang turut menyaksikan mereka melengkapkan kempen di kedudukan terbaik dalam sejarah kelab itu. – AGENSI