Reds yang menewaskan Everton pada separuh akhir 2012, pertemuan terakhir kedua-dua pas­ukan pada Pi­ala FA, juga akan menjadi tu­an rumah kepada jiran mereka yang bergelut de­ngan prestasi da­lam Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.

Everton ketika ini sedang berhadapan tempoh yang memeritkan dalam Liga Perdana dan gagal layak ke peringkat kalah mati Liga Europa, walaupun mereka kini telahpun melantik pengurus baharu, Sam Allardyce bagi me­ngubah nasib kelab itu.

Bagi menambah kehangatan lagi, hubungan tegang antara pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan Allardyce, yang sebelum ini pernah membuat kenya­taan membangkitkan kemarahan warga Jerman itu.

Bagaimanapun, Klopp bersikap profesional minggu lepas, apabila mengucapkan selamat maju jaya kepada Allardyce yang membawa masuk bekas pemain tengah dan jurulatih Liverpool, Sammy Lee sebagai staf di balik tabir.

Liverpool menewaskan Everton dalam kedua-dua perlawanan akhir pada 1986 dan 1989. Rekod 23 pertemuan kedua-dua kelab itu menyaksikan Liverpool melakar 10 kemenangan, tujuh diraih Everton dan enam kali berkesudahan dengan keputusan seri.

Dalam perlawanan lain, juara bertahan, Arsenal akan memulakan cabaran mereka dengan bertandang ke kelab divisyen dua, Nottingham Forest, manakala pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City bertemu Burnley di laman sendiri.

Arsenal bukan satu-satunya kelab gergasi Liga Perdana yang berdepan pasukan divisyen dua, malah Manchester United juga bakal melayan kunjungan Derby County di laman sendiri dan Chelsea pula ke Norwich.

Southampton akan bertandang ke Fulham dan West Ham serta Swansea, masing-masing beraksi menentang Shrewsbury dan pendahulu Liga Kejuaraan, Wolverhampton Wanderers di padang lawan. – AFP