Liverpool memberi reaksi baik terhadap kemenangan City ke atas Watford pada Sabtu lalu, apabila bangkit daripada ketinggalan selepas Burnley membuka jaringan secara kontroversi, dengan Roberto Firmino dan Sadio Mane masing-masing meledak dua gol.

Kemenangan tersebut membuktikan bahawa skuad kendalian Klopp itu, yang bakal diterbangkan ke Bayern Munich bagi perlawanan peringkat 16 akhir kedua Liga Juara-Juara Khamis ini (waktu Malaysia), mampu mengawal tekanan dengan baik.

“Mesej hari ini jelas bahawa tiada siapa yang mampu menghalang kami. Kami mempunyai gabungan yang sempurna untuk berjuang menentang pihak lawan dan bermain bola sepak.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah memastikan kami kekal dalam persaingan yang sangat menarik di kedudukan teratas. Kami tidak mempunyai masalah dengan keyakinan, kami berada dalam keadaan yang baik,” kata Klopp.

Kejayaan tersebut juga mencerminkan pencapaian Adam Lallana, iaitu pemain tengah kebangsaan England yang julung kali diturunkan dalam kesebelasan utama selepas pulih daripada kecederaan panjang, selepas dia dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan.

Paling terkesan ketika jaringan kedua Liverpool menerusi Mane pada minit ke-29 berpunca daripada usaha Lallana yang menghalang tendangan Phil Bardsley.

“Ia bukan sahaja daripada Adam, tetapi jelas ia berpunca daripadanya, jika dia mampu bermain seperti di dalam latihan, dia akan banyak membantu kami. Itu yang jelas apa yang berlaku hari ini.

“Dia seorang pemain yang bagus dalam memegang bola, tetapi dia juga seorang pemain yang agresif. Asakan pantas telah mengubah gaya permainan kami. Saya tidak nampak dengan jelas sehinggalah dia merebahkan badan untuk mengalang Phil. Saya berbangga dengannya,” tambah Klopp.- AFP