Keita tidak beraksi sejak 1 Mei lalu, selepas dia ditimpa kecederaan otot sewaktu separuh akhir pertama Liga Juara-Juara yang berkesudahan Liverpool tewas kepada Barcelona di Camp Nou.

Kecederaan yang dialaminya menyebabkan Keita terlepas beberapa perlawanan terakhir sebelum Liga Perdana Inggeris menutup musim dan aksi final Liga Juara-Juara yang menyaksikan Liverpool melakar kemenangan ke atas Tottenham.

Pengurus, Jurgen Klopp mengakui, Keita diragui untuk beraksi pada Piala Negara-Negara Afrika, musim panas ini, tetapi Put percaya, pemain bintangnya itu sempat cergas dan bersedia untuk beraksi menentang Mesir, hujung minggu ini, selepas menyertai skuad kebangsaan Guinea.

“Keita meninggalkan Liverpool selepas latihan pada sebelah pagi dan dia tiba pada Isnin (petang). Saya memberikan tekanan kepada Liverpool untuk menghantar pemain itu secepat mungkin.

“Pada pengakhirannya, saya berkata, jika Naby tidak datang sekarang, amat sukar untuk menyenaraikan dia dalam skuad Piala Negara-Negara Afrika. Keita berkata, dia bersedia untuk beraksi menentang Mesir,” katanya kepada Foot224.

Keita tiba di Liverpool, musim panas lalu dari RB Leipzig dan pada awal penyertaannya dia berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Merseyside.

Selepas berjaya menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama, persembahan Keita semakin meningkat dan dia menjaringkan tiga gol dalam enam penampilan terakhirnya, musim ini.

Guinea akan memulakan aksi mereka dalam Piala Negara-Negara Afrika di Mesir dan mereka ditempat dalam Kumpulan B bersama Madagascar, Burundi serta Nigeria. - AGENSI