Liverpool mempamerkan per­sem­­bahan terbaik di laman lawan dalam pertandingan peringkat Eropah di Stadium Ljudski vrt, setelah mereka mengatasi rekod kelab yang pernah melakar kemenangan besar ke atas Reykjavik pada 1964, Crusaders dalam tahun 1976 dan Haka pada 2001.

Roberto Firmino (dua gol), Mohamed Salah (dua gol), Philippe Coutinho, Alex Oxlade-Chamberlain dan Trent Alexander-Arnold kesemua mereka mencatat nama selaku penjaring gol di Slovenia.

Reds mencipta kemenangan pertama mereka dalam saingan Kumpulan E selepas dua perlawanan pembukaan berkesudahan dengan keputusan seri, dan Klopp berpendapat, keputusan itu berhak dirai skuad bimbingannya setelah meraih satu kemenangan dalam lapan pertemuan terakhir.

“Saya dimaklumkan selepas perlawanan (mengenai rekod), saya sebenarnya tidak tahu apa-apa. Kami pernah bercakap beberapa kali tentang betapa hebatnya sejarah kelab ini, jadi sudah tentu seronok dapat berada dalam lipatan sejarah, dan pencapaian itu mungkin sukar untuk diatasi.

“Memang jarang untuk anda meraih kemenangan 7-0, tetapi malam ini (awal pagi waktu Malaysia) kami berjaya mempamerkan aksi yang cukup luar biasa. Saya rasa Maribor agak yakin sebelum perlawanan kerana di atas alasan yang berbeza dan mereka juga sebuah pasukan yang bagus.

“Kami boleh membaca akhbar hari ini, di sini kerana pembantu saya boleh membaca bahasa mereka, dan saya ada bertanya kepadanya: ‘Apa yang mereka tulis?’ Mereka agak yakin kerana kelab England tidak pernah menang di Maribor, jadi cukup jelas kami merupakan pasukan pertama berbuat demikian,” kata Klopp dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Meskipun sekadar mencatat keputusan seri dalam dua perlawanan pembukaan, Liverpool kini mengungguli Kumpulan E menerusi perbezaan jaringan dengan Spartak Moscow yang membenam Sevilla 5-1.

Perlawanan berikut ialah bertemu Tottenham, sudah tentu keputusannya tidak sama. Tetapi kami masih ada empat atau lima hari untuk membuat persediaan,” tambah Klopp. – AGENSI