Bagaimanapun, dalam usaha memburu kemenangan itu, anak-anak buah Jurgen Klopp dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat yang disempurnakan Ashley Westwood pada minit keenam.

Enggan berputih mata di hadapan penyokong sendiri, jentera serangan Liverpool yang diketuai Roberto Firmino, Mohamed Salah dan Sadio Mane, mula melipat gandakan asakan bagi mencari gol penyamaan.

Usaha keras itu, akhirnya menjelma apabila Firmino mudah menolak masuk bola ke gawang pada minit ke-19 untuk jaringan penyamaan, setelah berlaku situasi kelam kabut didepan pintu gol yang dikawal Tom Heaton.

Tidak terhenti setakat itu, selang 10 minit selepas jaringan penyamaan, giliran Mane pula menggegar pintu gol Burnley hasil gerakan Salah yang mengkucar-kacirkan pertahanan lawan bagi meletakkan Liverpool mendahului 2-1 dan keputusan itu kekal sehingga rehat babak pertama.

Sebaik permainan disambung semula, Reds meneruskan asakan bertali arus, dan Salah sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan pelawat, apabila lariannya telah membuka kepada jaringan kedua Firmino pada minit ke-67.

Ketika saingan masuk ke masa tambahan, skuad bimbingan Sean Dyche yang enggan berputus asa, berjaya merapatkan jurang gol menerusi jaringan Johann Berg Guomundsson yang menewaskan penjaga gol Reds, Alisson Becker pada minit ke-91, namun, bintang Senegal, Mane melengkapkan kemenangan 4-2 Liverpool ketika permainan hanya berbaki seminit untuk tamat.