Perlawanan tersebut menyaksikan Madrid menang 1-0 di Santiago Bernabeu pada malam November 2014, dua minggu selepas Liverpool menerima kekalahan terbesar di laman sendiri dalam pentas Eropah setelah kecundang 3-0.

Begitu pun, selepas tiga tahun dan enam bulan, Jurgen Klopp membawa perubahan kepada juara Eropah lima kali itu selain menaruh kepercayaan bahawa The Reds layak untuk berada di pentas akhir Liga Juara-juara di mana mereka sekali lagi bertemu Real di Kiev, Sabtu ini.

“Banyak perkara berlaku sejak saya menyertai kelab ini namun perubahan terbesar adalah bagaimana peminat berubah sekiranya mereka menyukai pasukan ini.

“Perkara itu banyak membantu. Pemain layak untuk aksi final ini. Mereka menghadapi musim yang luar biasa, sentiasa berusaha ke arah lebih baik namun ini kejayaan yang besar berbanding tahun lalu,” kata­nya.

Klopp mengakui selepas menyingkirkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dengan kemenangan agregat 5-1 dalam suku akhir, masa semakin suntuk untuknya menghadiahkan satu trofi dalam tempoh empat tahun bersama Liverpool.

Sementara itu, selepas pertemuan terakhir mereka, skuad kendalian Zinedine Zidane te­lah memenangi dua trofi Liga Juara-juara, La Liga, dua Piala Dunia Kelab dan dua Piala Super Eropah.

Namun, keyakinan mula menyelubungi Anfield apabila Li­verpool mampu bersaing dengan kelab elit Eropah - dan Klopp memperbaharui kontraknya hingga 2022.

“Ini boleh menjadi permulaan yang istimewa di bawah Kloop, dia jurulatih bertaraf dunia,” kata bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard. – AFP