Meskipun bakal mengharungi perlawanan pembukaan untuk kempen Liga Perdana Inggeris menentang West Ham, Ahad ini, Jurgen Klopp tetap menurunkan pasukan yang kuat dan memberi peluang kepada pemain tonggaknya beraksi.

Penyerang Brazil, Firmino yang bermain dalam babak pertama, meletakkan Liverpool di depan sebelum menjadi perancang kepada pemain tengah, Georginio Wijnaldum untuk gol kedua.

Pemain antarabangsa Itali, Andrea Belotti merapatkan jurang kedudukan buat pasukan pelawat menerusi tandukan yang bertenaga, tetapi selepas Klopp melakukan beberapa pertukaran, Daniel Sturridge meledakkan gol ketiga setelah menerima hantaran silang Xherdan Shaqiri.

Penjaga gol baharu, Alisson berada di dalam kesebelasan utama untuk Liverpool, sebelum Loris Karius menerima tepukan penghormatan daripada penyokong Reds sewaktu dia di bawa masuk bagi menggantikan pemain Brazil itu dalam separuh masa kedua.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan persahabatan, Chelsea diikat keputusan seri tanpa jaringan dengan Lyon di Stamford Bridge, sebelum penjaga gol veteran, Rob Green menyelamatkan sepakan penalti bagi membantu Blues meraih kemenangan 5-4.

Eden Hazard, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid, kembali ke pangkuan skuad bimbingan Maurizio Sarri selepas tidak diturunkan sewaktu perlawanan Piala Perisai Komuniti yang berkesudahan Chelsea tewas kepada Manchester City, hujung minggu lalu, meledakkan gol kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti itu. - AFP