RAJA AHMAD ZAINUDDIN

FAM dalam kenyataan akhbar hari ini mengumumkan Mohd. Fazli Zulkifli dari Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Suhairy Johari (Angkatan Tentera Malaysia (ATM)), Mohd. Firdaus Azizul (Felcra FC), Ahmad Syamim Yahya (Pahang) dan Mohd. Khairul Rizam Che Soh (T-Team) digantung kerana mengkasari pemain lawan.

Fazli dan Suhairy, yang bergaduh ketika perlawanan Liga Perdana di Stadium Perak, Ipoh pada 24 Februari lalu masing-masing didenda RM1,000 dan digantung empat perlawanan berkuat-kuasa serta merta.

Firdaus turut dikenakan hukuman sama apabila didapati bersalah menumbuk perut pemain Kadazan Dusun Murut Malaysia Football Club (KDMM FC), Mohd. Helmi Sudin ketika perlawanan Piala FAM di Stadium Mini Kompleks Sukan Keningau, Sabah pada 26 Februari.

Khairul Rizam pula dipersalahkan kerana menumbuk perut pemain Pahang, Shazlan Zaidin dalam aksi Piala Presiden di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 2 Mac. Dia digantung empat perlawanan dan denda RM500.

Sementara itu, Ahmad Syamim yang menunjukkan isyarat lucah ketika perlawanan Liga Super antara Melaka dan Pahang di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 25 Februari digantung satu perlawanan serta didenda RM500.

Mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Kang Hwee Gee itu turut mengarahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membayar RM5,000 kerana melanggar Artikel 70.2 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan ‘Tanggungjawab Bagi Kelakuan Penonton’.

Pada 14 Februari lalu, penyokong Negeri Sembilan menceroboh masuk ke dalam padang Stadium Majlis Perbandaran Selayangs selepas tamat perlawanan Piala FA antara Selangor dan Negeri Sembilan. - UTUSAN ONLINE