Berdasarkan maklumat yang tersebar di media sosial, empat pasukan didakwa mempunyai kes dengan badan induk dunia tersebut dan mereka adalah Perak (satu), Kelantan (empat), Melaka United (dua) dan PKNS FC (satu).

Dalam pada itu, empat pasukan Liga Super turut mempunyai kes tunggakan gaji dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan mereka adalah PKNS FC (satu), Kelantan (dua), Pahang (satu) dan PKNP FC (dua).

Tidak ketinggalan, empat pasukan daripada Liga Perdana turut berdepan situasi yang sama apabila Kuantan FA memiliki enam kes FIFA dan 21 kes FAM manakala Sarawak (satu kes FIFA, dua kes FAM), Pulau Pinang (satu kes FIFA, tiga kes FAM) dan Felcra (dua kes FAM).

Dua pasukan daripada Piala FAM menyaksikan ATM satu kes dengan FIFA manakala Perlis dua kes FIFA dan satu kes FAM.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Timbalan Presiden Felcra FC, Datuk Haizan Murad menafikan perkara tersebut sambil menegaskan pasukannya itu tidak menghadapi masalah tunggakan gaji pemain.

“Mana ada (gaji pemain tertunggak). Gaji pemain (November) sudah dibayar pada Disember lalu. Saya fikir ini adalah disebabkan peralihan akaun di mana kami sebelum ini beraksi dalam Piala FAM pada musim lalu dan musim ini kami bermain dalam Liga Perdana.

“Jika anda tidak percaya anda boleh tanya sendiri kepada pemain. Kami memang tidak mempunyai masalah tunggakan gaji,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan rekod, sebelum ini bekas import Kelantan, Erwin Carrillo yang mewakili skuad The Red Warrior selama semusim pada 2015 telah membawa kes tunggakan gaji yang dihadapi ke badan induk bola sepak dunia bagaimanapun kes tersebut selesai dengan bantuan daripada FAM. - UTUSAN ONLINE