Liverpool hanya dipisahkan dengan satu mata daripada memenangi EPL selepas kali terakhir melakukannya pada 1990.

Kejayaan The Reds menewaskan Wolves 2-0 tidak bermakna apabila Manchester City berjaya membelasah Brighton 4-1, meninggalkan penyokong Liverpool dalam keadaan sedih yang sebelum ini mengharapkan keajaiban berpihak kepada mereka.

Liverpool mencatat 30 kemenangan dan mengumpul 97 mata musim ini namun pencapaian tersebut tidak berupaya untuk mengatasi prestasi City di bawah kendalian Pep Guardiola apabila mengumpul 100 mata pada musim lalu manakala 98 mata untuk tahun ini.

Bagaimanapun, Klopp menegaskan pemainnya tidak akan berdiam diri sebaliknya berpeluang menebus kekecewaan di pentas final Liga Juara-Juara menentang Tottenham di Madrid pada 1 Jun ini.

“Kami sudah layak ke Liga Juara-Juara. Itu amat bermakna. Ini merupakan salah satu skuad terbaik yang pernah dimiliki Liverpool, 100 peratus.

“Jika saya memberitahu anda tentang perkara positif mengenai pasukan ini, kita akan berada di sini sehingga satu jam sebelum final Liga Juara-Juara.

“Kelab ini berdepan detik terbaik mereka untuk sekian lama dan ia tidak akan berkubur hanya disebabkan pasukan lain berkelebihan satu mata.

“Jika kami bersedia untuk mengambil langkah seterusnya, kami akan lakukannya. Itu perancangan yang akan dibuat bermula esok,” kata Klopp.

Klopp berkeyakinan tinggi Liverpool mampu menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2005 dan jika The Reds melakukannya, jurulatih dari Jerman itu berpendapat pasukannya masih belum berada di kemuncak penguasaan mereka.

“Kami menghadapi musim yang menakjubkan. Saya boleh membaca semua nombor. Lebih manis untuk menjulang trofi terbesar. Kami perlu mengorak langkah namun banyak perkara yang perlu ditempuhi dan kami akan melakukannya,” katanya lagi. - AFP