Pihak KFA perlu mendapatkan lesen tersebut bagi membolehkan Lang Merah beraksi dalam saingan Liga Super 2018 dan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, pihaknya telah menghantar dokumen sokongan untuk memberi penjelasan kepada badan rayuan selepas gagal memenuhi syarat perlesenan yang ditetapkan FAM.

“Permohonan KFA telah ditolak ‘First Instance Body’ (FIB) Perlesenan Kelab FAM selepas kita gagal memenuhi satu daripada enam kriteria yang ditetapkan iaitu kewangan.

“KFA telah menghantar rayuan berserta dokumen sokongan untuk menjelaskan kedudukan sebenar mengikut keperluan FIB,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

FAM dilaporkan telah mengesahkan sebanyak tujuh daripada 12 pasukan Liga Super setakat ini telah lulus dalam permohonan untuk mendapatkan lesen kelab bagi membolehkan bersaing dalam Liga Super 2018.

Tujuh kelab yang mendapat kelulusan dalam mesyuarat FIB adalah Perak, Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang, Selangor, Pulau Pinang, t-Team dan PKNS FC.

Menurut Aminuddin, pihak pengurusan persatuan itu akan menyelesaikan aspek kewangan yang melibatkan perkara subjektif sebelum badan rayuan tersebut dijadualkan bersidang pada 15 September ini.

“Kita telah membuat semua persediaan bermula daripada permohonan awal perlesenan secara teratur dengan mengikut aspek yang ditetapkan badan perlesanan kelab tersebut. KFA akan memberikan komitmen penuh dalam memastikan kita mendapat leseb kelab,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE