Sebelum Leicester melakar kejutan merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris musim lalu, Atletico terlebih dahulu pernah melalui pengalaman serupa pada 2014 apabila memecah dominasi Real Madrid dan Barcelona de­ngan muncul juara La Liga.

Bagaimanapun kedua-dua pa­sukan bakal tampil bersama kisah berbeza apabila bertemu di Mad­rid esok (pukul 2.35 pagi Khamis waktu Malaysia).

Leicester mengharungi pelbagai ujian, termasuk kontroversi pemecatan jurulatih, Claudio Ranieri pada Februari lalu, selain tewas 4-2 di tangan Everton dalam aksi terakhir Liga Perdana, Ahad lalu.

Atletico pula tidak berdepan banyak masalah di bawah bim­bingan Diego Simeone, malah berjaya mengikat pendahulu La Liga, Real Madrid 1-1 di Santiago Bernabeu dalam perlawanan terakhir liga Sepanyol, Sabtu lalu.

Jika Atletico menduduki tangga ketiga dalam saingan domestik, Leicester yang dibimbing Craig Shakespeare berkedudukan ke-11.

Mereka boleh melupakan hasrat untuk kembali dalam kejohanan elit Eropah itu musim depan, kecuali jika berjaya melakar kejutan muncul juara musim ini.

“Kami telah melakar enam kemenangan berturut-turut sebelum kalah kepada Everton...namun ‘Shakey’ (Shakespeare) membuat keputusan menggilirkan pemain iaitu faktor kami tewas di Goodison Park.

“Dia mahu merehatkan beberapa tonggak dalam persiapan menghadapi Liga Juara-Juara. Harap semua orang akan kembali dengan lebih cergas dan bersedia untuk mencari kemenangan di Madrid,” kata pertahanan Leicester, Ben Chilwell.

Leicester merehatkan lima pemain utama ketika tewas kepada Everton dan akan bertandang ke Vicente Calderon tanpa kapten yang juga tonggak pertahanan, Wes Morgan. Namun, mereka akan diperkuatkan oleh pe­nyerang terbaik, Jamie Vardy dan Islam Slimani.

Sementara itu, Simeone berdepan isu kecederaan apabila belum pasti dapat menurunkan penjaga gol, Miguel Moya, Sime Vrsaljko (pertahanan) serta dua pemain tengah Nico Gaitan dan Tiago.

Penyerang sensasi Perancis, Antoine Griezmann bakal mengetuai jentera serangan Atletico, namun tanpa pasangannya, Kevin Gameiro yang dikhuatiri tidak sempat cergas, sekali gus meletakkan bekas bintang Liverpool, Fernando Torres sebagai pilihan mengisi bahagian depan. – AGENSI