Bagaimana jika diberitahu bahawa pemain itu sebenarnya tidak pernah beraksi di atas padang sepanjang bersama kelab-kelab terkemuka itu, tetapi berjaya meneruskan kehidupan gemilang seperti bintang-bintang lain sezaman dengannya?

Carlos Henrique Raposo atau lebih dikenali dengan Carlos ‘Kaiser’ memiliki gaya permainan seperti Franz ‘Der Kaiser’ Beckenbauer ketika zaman remajanya. Namun, selama lebih dua dekad bergelar pemain profesional, Kaiser lebih dikenali sebagai penipu sehingga mampu mengangkat kisah hidupnya ke layar perak menerusi filem ‘Kaiser: The Greatest Footballer To Never Play Football’.

Memulakan karier remajanya bersama Botafogo sebelum menyertai Flamengo pada 1973, Kaiser kemudiannya menyertai sebuah kelab Mexico, Puebla pada 1979. Kelab itu tertarik dengan potensi Kaiser semasa latihan, tetapi dilepaskan beberapa bulan kemudian tanpa dapat beraksi walau dalam satu perlawanan.

Kaiser dibesarkan oleh keluarga angkat dengan ibunya mengalami ketagihan alkohol yang teruk sehingga memaksa dia menjual makanan, selain melakukan kerja lain bagi menampung kehidupan di Rio de Janeiro sekitar tahun 1970.

Namun, Kaiser sangat meminati bola sepak walaupun dia sedar untuk menjadi pemain profesional bukanlah sesuatu yang terbaik untuk dirinya. “Saya suka bola sepak tetapi tidak suka menjadi profesional. Saya lebih gemar bersama kelab itu untuk menjaga pemain,” kata Kaiser.

Kelebihan Kaiser bukan terletak pada kemahirannya, tetapi `ayat-ayat manis’ yang meniti dibibirnya, walaupun hakikat sebenar dia bukanlah pemain yang bagus dan perkara itu disahkan legenda Brazil, Bebeto, Carlos Alberto dan Zico.

Bagi meyakinkan pengurusan kelab, Kaiser akan menunjukkan sebuah video palsu dengan membayar peminat menyeru namanya, seolah-olah dia adalah seorang bintang bola sepak sejati.

Bagaimanapun, apabila tiba masa untuk bermain, Kaiser akan menggunakan 1,001 alasan bagi mengelak dirinya beraksi di atas padang.

Kaiser amat beramat bernasib baik kerana dia hidup pada zaman teknologi yang masih mundur dan atas faktor itu, kerja-kerja penipuannya berjalan lancar. Modus operandi Kaiser mudah, dia hanya memerlukan tempoh sekitar enam bulan bagi mendekati pengarah serta presiden kelab, selain, `membeli jiwa’ media.

Kaiser juga bijak menyusun plot setiap kali menyertai kelab baharu. Dia akan berpura-pura ditimpa kecederaan untuk tiga bulan pertama dan helahnya itu berhasil memandangkan pada zamannya teknologi MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) masih belum ada.

“Saya ada seorang rakan yang berkhidmat sebagai doktor gigi. Dia akan menyamar sebagai doktor perubatan untuk mengeluarkan surat pengesahan kecederaan saya,” kata Kaiser.

Dalam satu insiden, Kaiser hampir dibawa masuk ke padang sebagai pemain gantian pasukan Bangu yang ketinggalan 0-2, helahnya kali ini ialah dia memanjat pagar dan bergaduh dengan penyokong lawan sehingga dilayangkan kad merah.

Selepas perlawanan itu, Kaiser tahu kontraknya bersama Bangu akan tamat dan kesemua rakan sepasukan menyalahkannya ekoran insiden itu, tetapi, dia berjaya memperdayakan pemilik kelab yang juga seorang ketua kongsi gelap, Castor De Andrade menerusi penipuan luar biasa.

“Tuhan sudah mengambil ibu bapa saya, tetapi apabila orang menuduh bapa saya yang baharu (De Andrade) sebagai penjenayah, saya tidak dapat menahan kemarahan. Tetapi jangan bimbang, kontrak saya akan tamat dan saya akan pergi,” kata Kaiser.

Disebabkan kata-katanya yang manis itu, De Andrade hanya tersenyum dan mengarahkan pengurusan kelab menaikkan gaji Kaiser dua kali ganda serta dilanjutkan kontrak selama enam bulan lagi. Kaiser meneruskan penipuan sehingga kariernya berakhir bersama Guarany dan sikapnya itu tidak pernah didedahkan mana-mana pemain kerana mereka menyenangi kehadirannya.