Banks telah lama berdepan dengan masalah kesihatan dan mendiang terpaksa menjalani rawatan kemoterapi, sejak beberapa bulan lalu.

Sejak kesihatannya semakin memburuk, Banks telah dilawati oleh bekas rakan sepasukan dan dia menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya dengan keluarga berada disisi.

“Kami amat berduka cita untuk memaklumkan bahawa Gordon telahpun meninggal dunia dalam keadaan yang tenang. Kami berasa sedih di atas pemergiannya, tetapi kami menyimpan begitu banyak kenangan manis dan amat bangga dengannya,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan keluarganya menerusi kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Stoke City.

Banks meninggalkan isterinya, Ursula dan tiga orang anak, Julia, Robert dan Wendy.

Mendiang disifatkan sebagai penjaga gol terbaik pada eranya, dan pernah dinobatkan selaku Penjaga Gol Terbaik FIFA sebanyak enam kali serta memiliki 73 caps bersama England.

Dilahirkan di Sheffield, Banks membuat 628 penampilan sepanjang 15 tahun kariernya sebagai pemain dalam Liga Bola Sepak. Dia pernah beraksi bersama Chesterfield, Leicester City dan Stoke.

Banks pernah memenangi Piala Liga bersama Foxes (1964) dan Potters (1972), selain, memenangi anugerah Pemain Terbaik 1972, serta turut berada dalam senarai Pasukan Bintang Piala Dunia FIFA 1966, selepas memainkan peranan penting bagi membantu Three Lions menjulang Piala Dunia di tanah air sendiri. - AGENSI.