Kunjungan itu diadakan sempena program Sehari bersama Legenda Bola Sepak yang bertujuan meraikan kanak-kanak autisme, celebral palsy, sindrom down dan kekurangan fizikal yang berusia antara tujuh hingga 13 tahun.

Guru Pendidikan Khas, Najmiah Harun berkata, murid tersebut ditempatkan dalam tujuh kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang dilaksanakan sejak dari 2010 dengan pelbagai aktiviti diaturkan.

“Hari ini kita mengadakan pertandingan mewarna dan bengkel bola sepak khusus untuk kanak-kanak istimewa ini yang sebenarnya sangat bertuah kerana bukan calang-calang pemain bola sepak yang datang ke sekolah hari ini.

“Selain itu, sekolah juga melaksanakan aktiviti lain bersama mereka contohnya seperti terapi berkuda, berenang, boling dan memanah dengan bimbingan daripada guru serta jurulatih khas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden Kelab Penyokong Liverpool (All Reds Malaysia), Muzili Aznor Musa.

Mc Manaman turut menyantuni kanak-kanak tersebut dengan meluangkan masa melawat bilik PPKI selain menunjukkan kemahiran menyepak bola dengan betul di padang sekolah tersebut.

Pekarangan sekolah juga turut dilimpahi dengan kehadiran penyokong setia The Reds yang menantikan kunjungan legenda itu sejak awal pagi. - UTUSAN ONLINE