Kapten Three Lions itu yakin dapat memperbaiki pencapaian separuh akhir di Itali pada 1990, dengan menewaskan Croatia, Khamis ini dan sekali gus menjejakkan kaki ke perlawanan akhir, Ahad ini.

Motivasi tersebut hadir selepas Gary Lineker mengimbas kembali kali terakhir England mara ke peringkat empat terbaik pada Piala Dunia.

“Memang mengagumkan dapat bertemu dengan wira dari 1966 dan ia memberi inspirasi. Saya berbesar hati dapat membuat bekas pemain berasa bangga dengan kami. Saya yakin ia akan dapat mengembalikan kenangan untuk mereka dan begitu juga dengan Gary ketika dia beraksi pada separuh akhir.

“Kami juga mahu menulis sejarah kami sendiri. Harap kami dapat mengorak selangkah lagi ke depan dan mara ke perlawanan akhir,” kata Kane.

Kane yang masih mendahului senarai pemburuan Kasut Emas, pernah bertemu wira 1966, Geoff Hurst dalam beberapa majlis, termasuk kali terakhir Mac lalu sewaktu kedua-dua mereka menjalani rakaman Sport Relief di pangkalan latihan Tottenham.

Kane amat yakin dapat memberikan impak yang sama terhadap penyokong England seperti mana Kelas 1966 lakukan dan kegembiraan itu diharap dapat diteruskan di seluruh negara sejak beberapa minggu lalu.

“Kami berasa bangga dapat membuat penyokong bangga. Itu yang kami mahu lakukan setiap kali beraksi. Kami mahu mempamerkan permainan bola sepak yang bagus. Kami mahu bekerja keras bermain dengan penuh semangat dan kami berasakan bahawa kami telahpun berbuat demikian. Jadi, kami sedang menikmati keseronokan itu.

“Kami mahu peminat melihat kami gembira di sini.

Hanya tinggal selangkah lagi untuk beraksi dalam perlawanan bola sepak terbesar sebagai pemain profesional,” tambah Kane. – AGENSI