Penampilan pertama Giroud menyaksikan dia mencetus satu gerakan untuk Eden Hazard membuka tirai jaringan perlawanan ketika Chelsea menundukkan West Bromwich Albion 3-0 hari ini.

Percubaan Victor Moses dan satu lagi gol cantik oleh Hazard menutup malam cemerlang Chelsea tetapi episod malang bagi West Brom, yang kini berada di kedudukan tercorot dengan 20 mata selain kehilangan Daniel Sturridge akibat kecederaan hamstring.

Kemenangan itu membolehkan The Blues melonjak ke kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus mengurangkan tekanan ke atas Conte setelah pa­sukannya tewas kepada Bournemouth dan Watford sebelum itu.

Conte sebelum ini berdepan kesukaran untuk menamakan penyerang utama selepas hampir sebulan Morata tersisih akibat kecederaan belakang dan Giroud hanya menyertai Chelsea daripada Arsenal pada 31 Januari lalu.

“Kami harus gembira dengan prestasi Giroud, ini adalah kali pertama dia bermain dalam kese­belasan utama. Dia perlu meningkatkan permainannya, kehadiran Olivier sangat penting.

“Giroud baru pulih daripada masalah otot, jadi adalah penting dia serasi dengan idea bola sepak kami untuk berada di kedudukan yang tepat. Jaringan pertama perlawanan ini adalah contoh yang jelas tentang idea kami,” kata Conte.

Morata yang berada di bangku simpanan Chelsea mendapat ke­sempatan beraksi selama setengah jam apabila menggantikan Giroud yang dikeluarkan dengan kepala berbalut selepas bertembung dengan pertahanan tengah West Brom.

“Kami sangat gembira kerana Morata bermain dengan sangat baik dalam tempoh 30 minit terakhir menerusi karakter dan kepantasan yang hebat.

“Perkara paling penting bagi kami, kedua-duanya berada dalam keadaan fizikal yang terbaik. Morata telah menderita selama sebulan akibat kecederaan belakang dan saya harap kami dapat menyelesaikan masalah ini,” kata Conte. – AFP